Usung kepala lembu tanda kemerdekaan ke-52?

Tuesday, October 20, 2009

Oleh Kasthuri Jeevan

Seluruh masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik harus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengadakan demostrasi jalanan dengan mengarak kepala lembu yang berlaku di luar premis bangunan SUK Selangor pada 28 Ogos 2009, kerana menentang pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam.

Perbuatan mengusung dan memijak kepala lembu yang baru disembelih, seekor haiwan yang dianggap suci oleh masyarakat Hindu, serta ancaman tersirat pertumpahan darah di sebalik perbuatan tersebut di saat hampir menjelang sambutan Kemerdekaan menuntut setiap rakyat Malaysia untuk memikirkan semula tentang erti dan nilai sebenar 52 tahun kemerdekaan serta seruan terhadap konsep “1Malaysia”.

Perbuatan keji yang telah dilakukan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab TIDAK HARUS sama sekali dilihat sebagai pertembungan di antara dua agama atau dua komuniti agama. Setiap kepercayaan dan agama, termasuklah Islam dan Hindu, menjunjung tinggi nilai kedamaian dan martabat kemanusiaan sebagai nilai-nilai asas lagi berunsur sejagat. Nilai keagamaan dan cinta akan kemanusiaan mewajibkan kita untuk meneruskan perjuangan mencari kedamaian serta melahirkan bantahan dan tentangan kita terhadap segala bentuk kebencian dan perantakan.

Tambah Lim, dalam masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa, perbuatan seperti ini boleh menjejaskan perpaduan kaum, lalu mencetuskan pergaduhan serta rusuhan.
“Dalam masyarakat berbilang bangsa dan kaum ini,adalah sungguh biadap apabila mempersendakan sesuatu yang suci, perbuatan seperti bukan sahaja memberi impak kepada kaum tertentu sahaja malah satu negara ini terasa kesannya,” tegas Lim.

Walaupun Lim memuji sikap Perdana Menteri kerana telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk mengambil semua langkah-langkah dalam menyiasat perbuatan mengusung kepala lembu yang dirasakan sungguh jijik oleh warga Malaysia, Lim turut meluahkan rasa kecewa dengan polis yang begitu lambat bertindak.

Lim menyelar sikap polis yang tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak sedar perbuatan tersebut bersifat menghina agama lain, manakala penganjur demonstrasi telah memastikan aksi mereka mendapat perhatian media yang luas. Video turut direkod dan dimuat turun dalam laman web YouTube.

Sungguh merisaukan apabila slogan “1Malaysia” Najib Razak yang bertekad untuk menyatupadukan semua kaum dalam semua aspek tidak kira bangsa,agama,bahasa, budaya seolah-olah tidak dihirau atau diambil kira oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang lain.

“Kita telah melihat pelbagai pemimpin politik dan media massa yang cuba memecah-belahkan kaum dengan membangkitkan pelbagai isu yang menimbulkan kemarahan di kalangan kaum terutamanya kita dapat melihat dengan jelas ketika pilihan raya kecil di Permatang Pasir baru-baru ini. Apa yang tampak jelas adalah konsep ‘1Malaysia’ seolah-olah diketawakan oleh barisan kepimpinan BN,” ujar Lim.

“Slogan‘1Malaysia’ Najib hanya akan menjadi sekadar slogan sahaja jika semua yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri tidak tercapai, sama seperti Islam Hadhari yang menjadi ideologi bekas Pedana Menteri, Tun Abdullah Badawi,” ulas Lim.

Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok menyarankan Kerajaan Pusat menghapuskan dengan segera ruangan bangsa dan agama dalam semua borang di negara ini sejajar dengan konsep ‘1Malaysia’ yang dilaungkan Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat negeri maju yang lain, mereka tidak meletakkan ruangan bangsa dan agama tetapi hanya ruangan warganegara sahaja,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Selain itu, beliau turut menggesa polis bertindak tegas ke atas mereka yang terbabit dalam “perarakan kepala lembu” di Bangunan SUK. Katanya, insiden itu mengejutkan semua pihak dan seolah-olah mereka yang terbabit tidak faham dengan konsep “1Malaysia”.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata beliau terkelu dengan sikap selamba pihak polis.

“Salah seorang daripada pemprotes dilaporkan telah mencabar kerajaan malah mengancam akan berlaku pertumpahan darah dan rusuhan perkauman namun pihak polis hanyalah mendiamkan diri. Saya kelu mengapa Ketua Polis Selangor enggan mengambil sebarang tindakan sedangkan sekiranya barisan pemimpin pembangkang jika bersuara sedikit akan dengan serta merta diambil tindakan tegas atas alasan membawa ancaman kepada negara,” selar Charles dalam kenyataan medianya.

Tambah beliau, rakyat sebenarnya meraikan “kemerdekaan yang hitam” bukan sahaja kerana protes pada 28 Ogos malah juga kerana krisis yang melanda negeri Perak, cubaan rampasan kuasa di negeri Selangor oleh Barisan Nasional, kematian Teoh Beng Hock di tangan pegawai-pegawai SPRM yang bersifat berat-sebelah, media yang tidak berhak bersuara dan isu rasuah yang semakin berleluasa.

Comments are closed.