Angin perubahan masih bertiup

Dengan kemenangan calon PAS, Mohd Salleh Man, di DUN Permatang Pasir dengan majoriti sebanyak 4,551, Pakatan Rakyat yakin keputusan itu akan mengeratkan pertalian di antara parti-parti PR dan memperkukuhkan momentum dalam persiapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-13.
Daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala calon BN Rohaizat Othman mendapat 5,067 undi.
Sejak Mac 2008, selain kalah di Permatang Pasir, UMNO-BN kalah berterusan di kerusi parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang; dan DUN Bukit Selambau serta Penanti sebelum ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berpendapat bahawa rakyat Pulau Pinang terus yakin terhadap pemerintahan kerajaan negeri yang berjiwa rakyat.
“Ini menunjukkan sokongan kuat pada kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) DAP, PAS dan PKR. Bukan seperti UMNO katakan, Pakatan kita (adalah) pakatan yang rapuh.”
“DUN Permatang Pasir bukan sahaja kemenangan bagi kerajaan negeri dan rakyat seluruh Pulau Pinang, tapi suatu terjemahan perasaan rakyat bahawa UMNO terus ditolak setiap kali pilihan raya (kecil) diadakan. Pakatan yang kukuh ini boleh memenangi pilihanraya ke-13 nanti, sebab rakyat mahu sebuah kerajaan persekutuan yang ada ‘jiwa’ Malaysia, bukannya perkauman sempit,” tambahnya.
Lim juga menolak dakwaan beberapa pemimpin BN yang tidak dapat terima kekalahan yang mengatakan bahawa majoriti undi telah dikurangkan sebanyak 900 undi.“Ini terjadi kerana peratusan jumlah pengundi kali ini hanya 73% berbanding 83% pada pilihan raya umum 2008. Maka majoriti akan turun jika dikira dari segi peratusan undi. Pada 2008, undi untuk PAS mencapai tahap 65.5%. Kali ini, jumlah undi dalam lingkungan 65.13%, jadi beza tersangat sedikit sahaja. Jika dilihat secara terperinci, kita menang di semua daerah mengundi. UMNO tak menang satu pun. Ini masih angin perubahan Mac 8,” jelas Lim.
Beliau berasa rakyat Pulau Pinang sedia terima hakikat yang pemimpin Cina berupaya jaga hak Melayu, pemimpin Melayu boleh jaga kepentingan kaum India dan sebaliknya.
“Bila kita bersatu dalam semua peringkat dari atas ke bawah, bila semua pemimpin turun ke padang dan berkempen dari rumah ke rumah bersama-sama, kita telah berjaya mendapatkan sokongan yang lebih daripada pengundi Cina. Dalam dua kawasan di mana kaum Cina emrupakan majoriti iaitu Kampung Cross Street dan Permatang Pauh, undi PAS naik,” tambahnya.
Oleh kerana kerajaan negeri berpegang teguh kepada prinsip-prinsip CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus) dan nilai-nilai murni, beliau menegaskan bahawa peruntukan seharusnya diagihkan secara konsisten dan adil.
“Ini sesuatu yang mesti diinstitusikan supaya peruntukan dapat dinikmati oleh semua rakyat, tidak kira adanya pilihan raya atau tidak. Inilah sebabnya apabila kerajaan negeri memberi diskaun 50% bagi permohonan lesen baru dan pembaharuan lesen peniaga kecil, kita berikan kepada seluruh negeri, bukan sahaja di Permatang Pasir,” kata Lim.
Pukulan hebat buat Najib
“Kemenangan besar Mohd Salleh Man merupakan pukulan hebat buat Datuk Seri Najib Razak selepas 114 hari menjadi Perdana Menteri yang ke-enam,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan media pada 26 Ogos lalu.
“Sudah terbukti keyakinan para pengundi Permatang Pasir masih menaruh kepercayaan terhadap pemerintahan Pakatan Rakyat terutamanya di Pulau Pinang walaupun Barisan Nasional dan UMNO cuba menyemarakkan sentimen perkauman dan kerap memainkan isu agama,” tambah Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.
Pemimpin UMNO-Barisan Nasional mencuba “nasib” untuk menang di Permatang selepas kegagalan mereka di Manek Urai, namun sekali lagi kecewa. UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg. Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.
Undi Cina meningkat sebanyak 5.21% di Kg. Cross Street yang terdiri daripada 80% pengundi bukan Melayu, di mana calon menyapu 75% undi.
Walaupun Permatang Pasir merupakan tempat pertama slogan “1Malaysia” digunakan untuk tujuan berkempen, beribu papan iklan dan poster ia tidak dapat mengabui mata para pendundi Permatang Pasir. Objektif “1Malaysia” yang sering di war-warkan oleh Najib Razak dan Barisan Nasional-UMNO tidak mendapat tempat di hati para pengundi mahupun rakyat Malaysia serta tidak dapat menyembunyikan kekurangan dan hipokrasi mesej tersebut.
“Ini disebabkan slogan ‘1Malaysia’ bercanggah dengan aksi-aksi pemimpin UMNO-BN yang lain yang asyik menggunakan isu kaum dan agama untuk membahagikan rakyat Malaysia,” rintih Lim.
Keputusan pilihan raya di Permatang Pasir perlu dijadikan peringatan untuk Pakatan Rakyat untuk terus menekankan mesej bahawa pakatan berbagai kaum itu mampu membentuk alternatif yang berdaya memerintah, dan pada waktu yang sama, langkah-langkah perlu diambil untuk memperbaikkan kekurangan atau kelemahan yang ada sekarang.
Cabaran utama untuk Pakatan Rakyat ialah menggunakan semua kelebihan dan kemampuan untuk meraih kemenangan di Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

